Prof. Madya Dr.Wan Z. Kamaruddin b. Wan Ali, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur

Judul : Konsep Kewajiban dan Tanggungjawab (al-Taklif) Dalam Pemikiran Islam dan Posisinya Dalam Kehidupan Masyarakat Muslim.

Abstrak:

1. Introduksi:

Konsep al-Taklif merupakan salah satu konsep yang penting dalam bidang Pemikiran Islam dan ia mempunyai hubungan langsung dengan konsep keadilan Allah (al-‘Adl al-Ilahi) dan juga perbuatan Allah (af‘al-Allah) dan perbuatan manusia (af‘al-‘ibad) yang biasanya akan dibahaskan secara mendalam dalam bab rukun Iman keenam iaitu Keimanan kepada al-Qada’ dan al-Qadr. Ia menjadi isu kontroversial dalam konteks kemazhaban dan kepelbagaian gaya, corak, bentuk, metodologi dan sistem pemikiran di kalangan kaum muslimin di Malaysia mahupun di luar Malaysia, polemik yang sentiasa mengundang perselisihan pendapat dan pandangan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan,sentiasa segar dan baru dalam era perubahan dan proses penggantian manusia sejak mereka diturunkan ke muka bumi hingga ke hari ini.

Pemerhatian dari pelbagai perspektif dapat mendedahkan dan mengembangkan idea dan pemikiran manusia kepada penyelesaian atau paling suatu kesimpulan yang lebih menyeluruh.Sekiranya ia dilihat menerusi pemerhatian dan penelitian daripada kepelbagaian metodologi dan perspektif, diharap ia dapat dimanfaatkan untuk kepentingan manusia khususnya muslim, mu’min dan muttaqi untuk bersikap lapang dada, positif dan berfikiran terbuka sesama mereka sebagai makhluk Allah yang hanya bermatlamat untuk akur, patuh dan taat kepada Allah (s.w.t) semata-mata.

2. Al-Taklif dari segi literal:

Dari segi bahasa, perkataan al-taklif التكليف)) daripada perkataan al-kulfah yang bermaksud penat (al-ta‘ab) dan sukar (al-masyaqqah).Ibn Durayd (m.321H) menjelaskan ia bermaksud membebankan (sesuatu) dengan sesuatu. Ibn Faris (m.395H) menerangkannya sebagai bermaksud mengemukakan perintah melakukan sesuatu yang membebankan. Justeru, Fairuzabadi (m.871H) mengatakan al-taklif sebagai sesuatu yang memenatkan dan menyukarkan ataupun yang meletakkan seseorang dalam kesulitan.

Secara ringkasnya, dari segi bahasa ia dapatlah disimpulkan bahawa al-taklif merujuk kepada sesuatu perintah atau suruhan yang membebankan, memenatkan, menyukarkan dan menyulitkan seseorang.

3. Al-Taklif dari segi terminologi:

Dari segi istilah pula, al-Baghdadi (m.329H) daripada aliran al-Asya‘irah mengatakan al-taklif merujuk kepada perintah (al-amr) dan larangan (al-nahy) kerana perkara-perkara yang diperintah untuk dilakukan adalah penat dan sukar, dan pada kebiasaannya  tidak disuruh untuk melakukannya. Al-Juwayni (m.478H) pula mendefinisikannya dengan pengertian suatu perintah yang diwajibkan atas seseorang mukallaf untuk melakukan sesuatu yang sukar baginya.

‘Abd al-Jabbar (m.415H) daripada aliran al-Mu‘tazilah mentakrifkannya dengan maksud keinginan melakukan sesuatu perbuatan yang menyukarkan dan membebankan diri seseorang mukallaf.

Secara ringkasnya, al-taklif dapat disimpulkan dari segi terminologinya sebagai sesuatu perbuatan, larangan yang membebankan, menyukarkan dan memenatkan untuk dilakukan oleh seseorang mukallaf.

Dalam konteks perbincangan ini, konsep al-taklif dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:

Pertama: Taklif ma la yutaq (kewajiban di luar kemampuan) merujuk kepada sesuatu yang membebankan, menyukarkan dan memenatkan seseorang mukallaf tanpa diberikan sebarang pilihan dan kebebasan. Ia berkaitan dengan ketetapan Allah (s.w.t) yang sepenuhnya berada dalam kekuasaan Allah (s.w.t).

Kedua: Taklif ma yutaq (kewajiban dalam kemampuan) merujuk kepada sesuatu perbuatan, larangan yang membebankan, menyukarkan dan memenatkan untuk dilakukan oleh seseorang mukallaf. Ia berkaitan dengan ketetapan Allah (s.w.t) tetapi manusia diberikan pilihan dan kebebasan sama ada untuk melakukannya atau meninggalkannya.

Secara umumnya, kaum muslimin tidak membincangkan persoalan taklif ma la yutaq (kewajiban di luar kemampuan) kerana ia sama sekali berada di luar kemampuan, kebolehan, keupayaan dan kesanggupan manusia untuk melakukannya. Ia pada hakikatnya adalah di bawah kekuasaan Allah (s.w.t) semata-mata. Contoh: Kewajiban untuk salat 24 jam sehari semalam tanpa henti-henti dan seumpamanya.

Perbahasan dan perbincangan yang panjang lebar di kalangan para ulama, pemikir dan cendikiawan muslim lebih tertumpu kepada persoalan  taklif ma yutaq (kewajiban dalam kemampuan). Ini kerana ia berkaitan dengan beberapa persoalan lain yang sangat relevan dalam Islam seperti isu perutusan nabi dan rasul, kedudukan syariah dan sebagainya. Contoh: Kewajiban bersalat 5 kali sehari semalam sebanyak 17 rakaat semuanya, dan salat-salat sunat lain yang diberikan kepada manusia muslim sama ada untuk melakukannya atau meninggalkannya.

Dalam konteks perbincangan dalam artikel ini, tumpuan hanya akan diberikan untuk membincangkan persoalan taklif ma yutaq (kewajiban dalam kemampuan) sahaja. Keterangan al-Qur’an, al-Hadith dan perbahasan di kalangan aliran-aliran pemikiran Islam akan diperlihatkan untuk melihat sudut pandang dan pendirian masing-masing.


  1. Tinggalkan komentar

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: